Friday, June 13, 2008

KERTAS CADANGAN KAJIAN TINDAKAN JPN KEDAH (2007)

1. TAJUK KAJIAN
Menguasai Fakta Sejarah Melalui Kaedah Rakan Fakta .
2. NAMA PENYELIDIK DAN ALAMAT SEKOLAH
Megat Mawardi Bin Ahmad.
Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Sulong,
08700 Jeniang, Kedah.
3.REFLEKSI PENGAJARAN & PEMBELAJARAN
Berdasarkan pengamatan saya yang lalu semasa mengajar matapelajaran Sejarah didapati minat pelajar terhadap mata pelajaran ini tidak memuaskan hati saya. Sedangkan matapelajaran ini merupakan merupakan satu matapelajaran yang penting untuk memupuk semangat cinta akan negara dan kenali bangsa sendiri. Oleh itu tidak hairanlah jika tiada minat dan kesungguhan maka penguasaan fakta terhadap sesuatu tajuk yang dibincangkan di dalam kelas tidak dapat dikuasai sepenuhnya. Dengan lain perkataan tiada penghayatan terhadap sejarah negara sendiri. Lebih tersentuh hati saya apabila ada yang menganggap matapelajaran sejarah mudah dipelajari dan tidak perlu diadakan kelas tambahan, seolah-olah dianaktirikan.

Keadaan seperti itu berterusan hinggalah pelajar berkenaan menduduki peperiksaan PMR dan SPM. Saya tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi tugas memupuk minat terhadap sejarah tanah air tidak harus dipandang sebeah mata. Memupuk minat terlebih dahulu kemudian dapat digerakkan minda pelajar untuk menguasai fakta ataupun sebaliknya adalah penting.

Apabila tiada minat macam-macam jawapan dizahirkan oleh pelajar. Antaranya ialah susah mengingati fakta, tidak minat, tidak faham, malas, tidak minat guru sejarah dan sebagainya. Saya berhasrat untuk mengubah persepsi itu tanpa disedari pelajar dengan mengetengahkan beberapa kaedah. Salah satunya ialah Rakan Fakta Bestari.

Sebabnya ialah saya dapati kemungkinan pelajar bosan dengan cara sebelum ini lebih banyak kepada teknik penceritaan, chalk and talk dan perbincangan kumpulan. Manakala isi kandungan mata pelajaran sejarah juga berkisar kisah lalu yang tidak menarik perhatian pelajar berbanding mata pelajaran yang lain. Begitu juga dengan persekitaran pelajar tidak digunakan dengan sebaik mungkin untuk dikaitkan dengan tajuk tertentu dalam matapelajaran sejarah.

Saya percaya kebanyakan guru sejarah akan menghadapi masalah yang serupa bila berada di dalam kelas seperti yang dinyatakan di atas. Jika masalah ini tidak dapat diatasi akan mempengaruhi keseluruhan keputusan peperiksan

4. FOKUS KAJIAN
Fokus kajian saya ialah Penguasaan Fakta Sejarah.
Walaupun banyak lagi masalah yang lain, ini menjadi fokus kajian saya sebab dijangkakan dapat menyelesaikan masalah tidak minat, tidak dapat mengingati fakta dan tersilap pilih jawapan yang tepat semasa peperiksaan.

5. OBJEKTIF KAJIAN
Objektif Am:
Meningkatkan peratus lulus cemerlang(Gred A)

Objektif Khusus:
i. Meningkatkan penguasaan fakta
ii. Mengelakkan kekeliruan memilih jawapan yang tepat.
iii. Menarik minat pelajar mencari maklumat dalam buku teks.

6. KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan 40 orang pelajar tingkatan 2 Bestari.

7. PROSEDUR KAJIAN
7.1 Tinjauan Awal
Tinjauan dilakukan dengan mengutip data seperti berikut:
i. Ujian soalan objektif bagi mengenalpasti tahap penguasaan fakta sesuatu tajuk.
ii. Borang kaji selidik
7.2 Cadangan Tindakan Intervensi
Penguasan Fakta Melalui Kaedah Rakan Fakta
Aktiviti 1: Pelajar menjawab 10 soalan objektif secara individu tanpa membuat
rujukan pada mana-mana buku.

Aktiviti 2: Pelajar menjawab 10 soalan objektif yang sama seperti di aktiviti satu
dan mencatat ayat buku teks untuk membuktikan jawapan yang dipilih itu tepat. Pelajar juga dikehendaki mencatat muka surat berdasarkan buku teks yang dirujuk. Semua catatan itu ditulis di bawah soalan di ruang yang telah disediakan Catatan itu sebagai tanda pelajar memperolehi jawapan tepat dan fakta yang akan diingati oleh pelajar. Pelajar juga akan membuat pembetulan jawapan semasa aktiviiti dua ini.

Aktiviti 3: Pelajar mencatat apa yang mereka Terbaca dan Terlihat semasa
mencari ayat jawapan bagi soalan dan tajuk berkenaan Contohnya tokoh,peristiwa, gambar, peta dan istilah penting. Semua catatan tersebut dipindahkan ke dalam buku notan

Aktiviti 4: Pelajar bertukar-tukar fakta iaitu ayat dan muka surat yang diperolehi dari buku teks.

Contoh pelaksanaan.

1.1 Contoh soalan latihan yang dibekalkan oleh guru

Soalan 1
Apakah tujuan British melaksanakan dasar penaklukannya ke atas negeri-negeri Melayu.
A Mengukuhkan kedudukan politiknya.
B Memiliki tanah jajahan di negeri Melayu
C Menguasai ekonomi negeri-negeri Melayu
D Mengawal penduduk di kawasan yang dikuasainya

Jawapan:_______
AyatBukuTeks:___________________________________________
M.S:________

CATATAN: Peristiwa, gambar, peta, tokoh atau apa saja yang pelajar terbaca atau terlihat.

_______________________________________________________


1.2 Tugas pelajar

1. Mencari jawapan dalam buku teks
2. Menulis jawapan A, B, C atau D
3. Menulis ayat dalam buku teks
4. Menulis muka surat
5. Mencatat peristiwa, gambar, tokoh atau apa saja yang pelajar terbaca atau terlihat.
6. Pelajar bertukar-tukar maklumat

Jawapan yang mungkin pelajar tulis dalam ruang disediakan seperti berikut

1. Jawapan: A Mengukuhkan kedudukan politiknya
2. Ayat buku teks- Dasar penaklukan British terhadap negeri-negeri
Melayu bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan politiknya.
M.S: 30

7.3 Penilaian Tindakan Intervensi
Setelah aktiviti satu hingga empat dijalankan sebanyak dua kali penilaian di bawah telah dijalankan:
i. Penilaian adalah berdasarkan markah ujian soalan objektif pasca dan
pra
ii. Pemerhatian sikap pelajar untuk mendapatkan jawapan semasa
membuat rujukan dalam buku teks